Monday, December 31, 2018

KURSUS BAHASA ARAB

Sebelum perjalanan sambung belajar di Mesir diteruskan kami perlu ikuti kursus bahasa di bawah tajaan Yayasan Pahang.

Dan sebelum berkursus, perlu hadiri temuduga di Kolej IKIP Kuantan. Saya ingat lagi masa temuduga di IKIP 1 masa tu, ramai juga yang datang untuk dapatkan pinjaman bawah Yayasan Pahang. Salah satu kemudahan untuk sambung belajar di Universiti Al-Azhar Mesir.

Ada juga yang saja datang walaupun sebenarnya tidak ada niat untuk pergi. Saja datang meramaikan katanya. 


Dan alhamdulillah, saya antara 30 orang yang diberi peluang dipilih panel Yayasan Pahang untuk sambung belajar di Universiti Al-Azhar Mesir.

Namun begitu, ia hanyalah permulaan kerana untuk daftar belajar di sana kita perlu memiliki Sijil Tinggi Agama Malaysisa (STAM) atau sijil yang diiktiraf oleh Al-Azhar sahaja.


Bagi Maahad Tahfiz yang bernaung bawah JAKIM, pihak al-Azhar akan menerima juga.


Mereka yang ada STAM akan sambung ke Fakulit Syariah, Usuluddin atau Bahasa Arab. Kami akan sambung ke Maahad Qiraat. 


Pihak Yayasan mengambil berat akan pelajar di bawahnya oleh itu, kursus 6 bulan sebelum ke Mesir perlu dihadiri. 

Kami belajar beberapa subjek yang berkaitan. Fiqah, Bahasa dan sebagainya. Tenaga pengajarnya pula beberapa orang ustaz dan ustazah termasuklah dua orang yang berasal dari Mesir.

Untuk diri saya ia adalah salah satu persediaan yang perlu terutama Bahasa Arab. 

Kami berada ditempatkan di Kolej IKIP 7 ketika itu. Satu rumah untuk perempuan dan satu lagi untuk lelaki. Ada juga pelajar yang akan sambung ke Jordan dan mereka bukan berada di bawah Yayasan Pahang.

Kelas bermula setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam. 

Kelebihan di sini, ada kolam renang jadi kami yang hobi bermain air ni selepas sahaja sesi kawad kaki setiap petang, akan ambil peluang berenang di sini.

Terapi minda sebelum berjuang di malam hari.

No comments:

Post a Comment